Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut baik usaha memperkasakan Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur sebagai hab perkongsian ilmu dan kepakaran.
- Malaysia diiktiraf atas pengalaman memperkasakan PMKS, memperkukuh ekonomi dan menjana pekerjaan, yang boleh dimanfaatkan negara anggota IsDB.
- Pusat Kecemerlangan IsDB berperanan sebagai platform strategik memindahkan teknologi dan kepakaran kewangan Islam kepada 56 negara anggota IsDB.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik usaha memperkasakan Pusat Kecemerlangan Islamic Development Bank (IsDB) di Kuala Lumpur sebagai hab perkongsian ilmu dan kepakaran.
Beliau berkata Malaysia diiktiraf atas pengalaman memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana peluang pekerjaan, dengan kepakaran dan pengalaman berkenaan berpotensi dimanfaatkan oleh negara anggota IsDB.
“Saya turut menegaskan kesediaan Malaysia berkongsi kepakaran dan memperluas kerjasama pembangunan di peringkat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Anwar berkata perkara berkenaan disuarakan semasa perbincangan dengan Pengerusi IsDB Dr Muhammad Sulaiman Al Jasser hari ini, yang mencerminkan keyakinan berterusan terhadap hala tuju pembangunan dan tatakelola negara.
“Insya-Allah, kerjasama erat ini akan memperluas peranan Malaysia sebagai rakan pembangunan yang berwibawa sekali gus membawa kepakaran anak bangsa ke pentas dunia,” katanya.
Dilancarkan pada 2019, Pusat Kecemerlangan IsDB di Kuala Lumpur berperanan sebagai platform strategik untuk memindahkan teknologi, kepakaran dan amalan terbaik kewangan Islam dari Malaysia kepada 56 negara anggota IsDB yang lain.
IsDB, yang beribu pejabat di Jeddah, Arab Saudi ialah sebuah institusi kewangan pembangunan pelbagai hala yang ditubuhkan pada 1975 bagi menyokong pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial negara anggota serta masyarakat Islam di seluruh dunia berasaskan prinsip syariah.
-- BERNAMA