SERDANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan boleh dinaikkan, namun dengan syarat setiap sen dana awam itu diuruskan dengan penuh ketelitian dan ketelusan sepenuhnya.
Jelasnya, beliau tidak mempunyai sebarang halangan untuk menambah peruntukan bagi kementerian tersebut, memandangkan bantuan yang disalurkan akan memberi kesan manfaat secara langsung kepada golongan petani, pesawah, pengusaha ladang dan nelayan di seluruh negara.
Peningkatan peruntukan itu bagaimanapun perlu disertai dengan tadbir urus yang kukuh dan berintegriti, supaya dana yang disediakan benar-benar digunakan secara berkesan dan tidak terbuang begitu sahaja.
"Kerajaan MADANI sentiasa memberi penekanan kepada soal tata kelola yang baik kerana peruntukan yang besar itu mesti diuruskan sebaik-baiknya, tanpa sebarang ketirisan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain memastikan pengurusan dijalankan dengan teratur dan cekap, semata-mata demi menyelamatkan nasib para petani, pesawah dan nelayan.
Beliau memberi amaran, walaupun perbelanjaan dan peruntukan boleh ditambah dengan mudah, namun sekiranya berlaku ketirisan atau kebocoran dana, golongan yang paling terkesan adalah petani, nelayan dan pesawah itu sendiri.
"Ambil contoh kes FELDA, setiap tahun Kementerian Kewangan terpaksa menyediakan dana berjumlah RM980 juta bagi membayar hutang akibat kerugian yang dialami agensi tersebut. Hampir satu bilion ringgit wang kerajaan, iaitu wang rakyat, digunakan semata-mata untuk menampung kerugian itu," ujar beliau.
Menurut beliau, keadaan itu boleh difahami sekiranya berpunca daripada bencana alam, namun ia sebaliknya berpunca daripada kelemahan pengurusan serta amalan merompak hak rakyat oleh pihak yang diberi amanah.
Beliau berpandangan, sekiranya FELDA diuruskan dengan baik dan teratur, rakyat tidak akan terus terbeban dengan pelbagai kos.
Malah, kerajaan tidak perlu memikirkan untuk menaikkan cukai sekiranya setiap sen wang negara digunakan dengan tepat.