MALAYSIA
PM setuju pertimbang pertambahan kerusi Parlimen di Sabah, Sarawak - TPM Fadillah

Fadillah bercakap pada sidang media selepas MTPMA63 Bilangan 1 Tahun 2025 di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching Sarawak hari ini. - Gambar Bernama
KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip untuk mempertimbangkan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak, namun tertakluk rundingan lanjut dan kajian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini hari ini, yang dipengerusikan Perdana Menteri.
"Berhubung kait kerusi Parlimen akan diperincikan lebih lanjut lagi... secara prinsip yang dipersetujui tadi Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengatakan bahawa perkara ini boleh dipertimbangkan tapi tertakluk perundingan dan perincian seterusnya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat itu turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata sebarang pindaan melibatkan kerusi Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, manakala penambahan kerusi Dewan Undangan Negeri adalah di bawah kuasa kerajaan negeri.
Fadillah berkata mesyuarat berkenaan turut bersetuju supaya pelantikan semua hakim yang melibatkan Sabah dan Sarawak memerlukan konsultasi rasmi dengan Yang Dipertua Negeri masing-masing dan pindaan Perlembagaan akan dilaksanakan bagi mengiktiraf proses itu.
"Sekarang ini sudah dilaksanakan secara pentadbiran iaitu apa-apa pelantikan yang melibatkan hakim-hakim Sabah dan Sarawak ia kena dirujuk kepada TYT (Tuan Yang Terutama) Sabah dan TYT Sarawak... pindaan Perlembagaan akan dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut sepakat untuk meminda Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan berhubung pengurusan sisa buangan terjadual yang akan dibentangkan di Parlimen pada Disember bagi memberi kuasa kepada Sabah dan Sarawak menguruskan isu alam sekitar di negeri masing-masing.
Dalam hal pelancongan pula, katanya, jawatankuasa teknikal akan memperincikan cadangan pindaan perlembagaan selepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendapatkan pandangan semua negeri.
"Kita masih melihat dari segi konteks pindaan kepada Perlembagaan, jadi jawatankuasa teknikal akan memperincikan lagi seperti yang diputuskan tadi... MOTAC perlu libat urus dengan seluruh negeri di Malaysia berhubung kait dengan perkara itu," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami