Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menzahirkan rasa syukurnya kerana rakyat dapat menyambut Syawal kali ini dengan meriah dalam suasana harmoni tanpa sebarang sengketa dan perbalahan.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka supaya memainkan peranan untuk memastikan keharmonian itu terpelihara buat selamanya.

"Ini sebahagian daripada rahmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita saban tahun, dan sama-samalah kita semua memainkan peranan untuk memastikan keharmonian ini terpelihara buat selamanya, Insya-Allah," kata beliau dalam catatan blognya, NajibRazak.com.

Sempena Syawal ini, beliau berharap rakyat dapat meluangkan masa untuk saling mengunjungi dan mengeratkan hubungan kekeluargan serta ikatan silaturrahim.

"Walau di mana anda berada, saya harap Raya ini anda telah berjaya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan mereka yang tersayang.

"Sekiranya belum, kita beraya selama sebulan, ada masa lagi yang boleh anda luangkan untuk kunjung-mengunjungi dan mengeratkan hubungan kekeluargaan sesama kita," kata perdana menteri.

Najib turut meminta rakyat supaya memenuhi jemputan rumah terbuka Aidilfitri kerana tradisi rumah terbuka adalah sebahagian daripada cara memeriahkan sambutan itu selain memastikan ikatan silaturrahim terus subur dan mekar.

Dalam pada itu, beliau meminta rakyat supaya sentiasa bersederhana dalam menikmati juadah yang dihidangkan seperi lemang, pulut, ketupat dan rendang supaya kesihatan mereka sentiasa terpelihara.


Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar yang dirakam sempena sambutan Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Sri Perdana, Putrajaya pada 1 Syawal lepas.

"Begitu meriah dengan ramai yang hadir dari pelbagai kaum dan agama, betul-betul 1Malaysia," katanya.

Najib juga berkata sepanjang Ramadan, terdapat banyak aktiviti-aktiviti unik yang mampu merapatkan ukhuwah sesama rakyat.

"Sepanjang sebulan berpuasa, saya berpeluang melakukan jelajah bertemu ramai dan mencuba keunikan budaya dan juadah tempatan di bazar-bazar Ramadan seluruh Malaysia, selain mengimarahkan majlis agama dan menyertai moreh di surau dan masjid di seluruh negara," kata beliau.

Perdana menteri berkata dalam kemeriahan menghampiri seminggu menyambut Syawal, beliau merindui Ramadan yang berlalu.

Menurutnya banyak ibadah yang hanya boleh dilaksanakan sepanjang bulan penuh keberkatan itu seperti solat Tarawih.

"Insya-Allah, sama-sama kita berdoa dipanjangkan umur semoga bertemu Ramadan di tahun hadapan, Insya-Allah," kata beliau.