KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan ulama terkemuka Mesir Syeikh Dr Mustafa An-Nadwi Al-Hasani Mansurah di pejabatnya di Putrajaya.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata Syeikh Dr Mustafa yang berasal dari Mansurah ialah seorang ilmuwan yang menekankan aspek akhlak, hikmah dan kedalaman ilmu khususnya dalam bidang hadis.
Beliau berkata Syeikh Dr Mustafa, yang juga antara murid kanan Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi, menjadi contoh dalam mengangkat ilmu dan kebijaksanaan khususnya pada zaman yang sering mengutamakan sensasi berbanding ilmu.
“Pada zaman yang sering mengangkat sensasi mengatasi ilmu, tokoh seperti Syeikh Dr Mustafa menawarkan kita teladan, mengingatkan kita bahawa ilmu dan hikmah hadir bagai embun di waktu subuh diam, lembut, tetapi menghidupkan alam.
“Kami juga bertukar pandangan mengenai hal ehwal semasa serta majlis Ilmu yang melibatkan Syeikh Dr Mustafa sepanjang berada di Malaysia minggu ini,” katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Syeikh Dr Mustafa atas nasihat serta doa beliau agar Malaysia terus memelihara perpaduan dan membina kemakmuran yang diberkati.
Pada masa sama, Anwar turut mendoakan agar Allah SWT terus memelihara Syeikh Dr Mustafa, memberkati ilmu dan amalnya serta membolehkan beliau meneruskan legasi membimbing umat dengan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kasih sayang.
-- BERNAMA