GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini bagi memulakan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang dan Kedah.

Pesawat khas membawa rombongan Perdana Menteri tiba di lapangan terbang itu pada 10.30 pagi dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengetuai kenamaan negeri menyambut beliau.

Hari ini, Anwar dijadual mengadakan perjumpaan dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di kediaman rasmi beliau di Seri Mutiara sebelum menghadiri Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Kampung Mengkuang Titi di Bukit Mertajam dan seterusnya menunaikan solat zuhur dan solat Jumaat di Masjid Jarak Atas di Tasek Gelugor.

Beliau kemudian dijadual bergerak ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang untuk menghadiri tiga program iaitu Majlis Amanat YAB Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang, sesi taklimat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP).

Selepas itu Perdana Menteri dijadual ke Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK) di Sungai Petani, Kedah untuk menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Kementerian Dalam Negeri.

Beliau kemudian dijadual menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih di Masjid Ibadurrahman, Kepala Batas, Pulau Pinang sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur melalui Pangkalan Udara TUDM Butterworth.
- BERNAMA