KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang meninggal dunia tengah malam tadi.

Perdana Menteri berkata jasa dan pengorbanan bekas Ahli Parlimen Kalabakan itu kepada negara dan negeri Sabah akan sentiasa dikenang buat selamanya.

"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," tulisnya dalam hantaran di akaun Facebooknya.


Abdul Ghapur, 80, disahkan meninggal dunia di di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu pada pukul 12.07 tengah malam tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas, Kota Kinabalu, pagi ini.

Abdul Ghapur merupakan Timbalan Ketua Menteri antara 1995 dan 1997 dan pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Kabinet negeri termasuk Menteri Kewangan Sabah serta Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Sabah.

-- BERNAMA