Skip to main content

Malaysia

PNM perkukuh transformasi digital, perluas akses masyarakat

Yuneswaran melawat reruai pameran interaktif sempena perasmian Seminar Pustakawan Digital Kebangsaan 2026 yang bertemakan "Keterlihatan, Inklusif, Ketahanan" di Perpustakaan Negara Malaysia hari ini. - Gambar Bernama
Yuneswaran melawat reruai pameran interaktif sempena perasmian Seminar Pustakawan Digital Kebangsaan 2026 yang bertemakan "Keterlihatan, Inklusif, Ketahanan" di Perpustakaan Negara Malaysia hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Transformasi digital Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bukan sahaja memodenkan perkhidmatan perpustakaan itu, tetapi juga memperluas akses masyarakat kepada ilmu dan maklumat berkualiti serta membantu merapatkan jurang digital. 

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R. Yuneswaran berkata PNM perlu terus menerajui transformasi digital bagi memperkukuh peranannya memelihara khazanah ilmu negara, memupuk kefahaman tentang sejarah, bahasa, budaya serta identiti negara dan sebagai pusat rujukan masyarakat bagi maklumat sahih.

Beliau berkata perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), analisis data, perkomputeran awan dan teknologi imersif telah mengubah cara masyarakat mencari, menganalisis, menghasilkan dan menggunakan maklumat. 

"Di sinilah PNM memainkan peranan penting daripada analog kepada digital untuk memudahkan akses kepada masyarakat mendapatkan maklumat, sekali gus meningkatkan literasi membaca dalam kalangan masyarakat. 

"Dalam 15 tahun kebelakangan ini, secara purata literasi membaca dalam kalangan masyarakat meningkat kepada 20 hingga 25 buku seorang (setahun), sekali gus mencerminkan minat membaca dalam kalangan masyarakat masih ada," katanya ketika merasmikan Seminar Pustakawan Digital Kebangsaan 2026, di sini hari ini. 

Beliau berkata koleksi bahan bacaan bercetak dan digital, program literasi maklumat serta platform pembelajaran interaktif dan imersif membolehkan perpustakaan menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan sejarah, bahasa, budaya dan identiti negara.

Seminar bertemakan "Keterlihatan, Inklusif, Ketahanan" yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 400 peserta daripada sektor perpustakaan, kerajaan, ahli akademik dan industri teknologi bagi memperkukuh kompetensi digital pustakawan serta mempercepat transformasi perkhidmatan perpustakaan negara. 

Sementara itu, Ketua Pengarah PNM Edy Irwan Zulkafli berkata perubahan teknologi menuntut pustakawan menguasai kemahiran pengurusan data, aplikasi digital, penilaian sumber dalam talian serta kaedah berinteraksi dengan teknologi AI. 

Sehubungan dengan itu, katanya, PNM memberikan keutamaan kepada pembangunan sumber manusia dan kompetensi digital bagi memastikan warga perpustakaan bersedia menghadapi perubahan teknologi. 

Beliau berkata PNM telah membangunkan tujuh inisiatif berasaskan AI dan digital, iaitu Sistem eDana Penulis, sistem transliterasi Jawi ke Tulisan Rumi (MyAKSARA), AI Cataloger, eDokumen, eRepositori, Sistem i-Bilik dan Pustakawan AI-Chatbot.

Edy Irwan berkata inisiatif berkenaan menunjukkan penggunaan teknologi dalam pelbagai aspek perkhidmatan, termasuk pengurusan proses kerja, kemudahan perpustakaan, pengkatalogan, pemeliharaan koleksi warisan serta penyediaan perkhidmatan rujukan digital. 

"Dalam aspek pemeliharaan khazanah warisan negara, PNM telah mendigitalkan 75,042 judul bersamaan dengan 4,470,776 muka surat hingga Ogos lepas, meliputi koleksi manuskrip Melayu, koleksi nadir, mikrofilem surat khabar dan warta kerajaan. 

"Pendigitan koleksi itu dilaksanakan secara berterusan bagi memperkaya kandungan digital yang boleh diakses masyarakat melalui portal MyRepositori PNM," katanya. 

Pada majlis sama, Yuneswaran turut melancarkan eBuku Pelan Strategik Pendigitalan PNM 2026-2030 dan Garis Panduan Perpustakaan Digital di Malaysia sebagai langkah memperkukuh ekosistem perpustakaan digital yang lebih dinamik, inklusif dan mampan. 

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement