MALAYSIA
Polis akan tahan Eda Ezrin sebaik tiba di Kelantan

Mohd Yusoff (kiri) berkata, penahanan itu bertujuan merakam percakapan.
RANTAU PANJANG: Polis akan terus menahan penyanyi wanita sohor Kelantan, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, suami dan empat lagi rakannya sebaik sahaja masuk ke negeri ini pada petang Khamis.
Ringkasan AI
- Polis Kelantan akan menahan Eda Ezrin, suami dan empat rakannya sebaik tiba di negeri itu bagi tujuan rakaman percakapan, susulan pembebasan mereka dari Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
- Dua individu yang masuk ke Thailand secara haram akan disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen, manakala kesemua mereka akan melalui proses dokumentasi di Balai Polis dan Depot Tahanan Imigresen Golok.
- JSJN Kelantan akan mengambil keterangan dan sampel air kencing daripada semua individu terlibat sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut.
"Bagaimanapun dua daripada enam individu itu yang masuk ke Thailand secara haram akan ditangkap mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1958/63," katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.
Dua individu dikenal pasti berusia 33 dan 26 tahun.
Empat lagi individu iaitu Eda Ezrin; suami, Mohd Affendi Ahmad, 35; bersama Mohamad Alif Deraman, 33, dan Nur Aida Mamat, 33, akan ditahan bertujuan merakam percakapan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya dijangka tiba di Balai Polis Sungai Golok di sini pada petang Khamis.
Bagaimanapun, kesemua mereka perlu ke Balai Polis dan kemudian ke Depot Tahanan Imigresen Golok untuk urusan dokumentasi sebelum dibenarkan pulang ke Kelantan.
Terdahulu, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini pada Rabu.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam pada Rabu.
Bagaimanapun, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya dilapor akan dipanggil untuk dirakam keterangan pada Khamis selepas dibebaskan dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, tindakan berkenaan akan dijalankan oleh JSJN Kelantan.
Kesemua individu berkenaan akan dirakam keterangan, selain sampel air kencing turut diambil untuk saringan. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami