Polis akan meneruskan siasatan terhadap kematian Muhammad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, pelajar sebuah sekolah tahfiz di Kota Tinggi, yang melibatkan suspek seorang pembantu warden.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis tidak menghentikan siasatan ke atas kes itu.

Ini berikutan pihaknya masih perlu mengemukakan kertas siasatan laporan kepada timbalan pendakwa raya berdasarkan penemuan terbaru daripada Kementerian Kesihatan.

"Jangan tutup. Tak tutup. Kita teruskan juga. Kita akan minta nasihat daripada timbalan pendakwa raya. Dan biar mereka buat keputusan," katanya pada majlis serah terima tugas antara beliau dan SAC Azman Ayob hari ini.

Azman, bekas Ketua Polis Daerah Muar, dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau mengambil alih jawatan Kamarul Zaman kini dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pelucutan/Harta/Perundangan/Tahanan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara Azman dan Kamarul Zaman berlangsung di Dewan Dato' Onn IPK Johor disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Kamarul Zaman yang merupakan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Johor berkata, siasatan terhadap pembantu warden berusia 29 tahun itu masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, laporan perubatan yang dijalankan satu jawatankuasa terdiri daripada pakar perunding forensik yang mahir, perlu dihantar kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk kajian oleh pendakwa raya.

Laporan tersebut akan dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya pada minggu ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan keputusan bedah siasat terhadap Muhammad Thaqif menunjukkan kematiannya berpunca daripada penyakit.

Katanya, kematian pelajar itu berpunca daripada jangkitan kencing tikus (Leptospirosis) dan bukannya akibat cedera dirotan pembantu warden seperti yang tular di media sosial sebelum ini.

Muhammad Thaqif meninggal dunia pada 26 April selepas kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang didakwa kesan dipukul pembantu warden asrama sekolah tahfiz itu.

Susulan kes itu, polis menahan pembantu warden itu untuk membantu siasatan, bagaimanapun dia dibebaskan pada 3 Mei lalu dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000.