SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merekodkan keterangan dua individu untuk membantu siasatan berkenaan dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, dua individu itu ialah pengadu dan saksi.
Advertisement
“Siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk meneliti setiap maklumat yang diperoleh dan akan memanggil individu lain bagi tujuan siasatan.
“Beri ruang dan masa kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara terperinci,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, satu laporan diterima pihaknya pada Khamis berkenaan isu terbabit yang melibatkan dakwaan terhadap seorang individu tempatan berpengaruh dengan agensi media antarabangsa.
Kata Mohd Khalid, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan lain, Jabatan Peguam Negara dengan tegas berkata, mana-mana pihak yang didapati terlibat, sekiranya ada, hendaklah dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa tanpa mengira kedudukan atau latar belakang. -Sinar Harian