Seorang ahli sindiket pengedaran dadah diberkas dalam kejadian berbalas tembak di Lebuhraya Selayang-Kepong berhampiran Taman Wangsa Permai, petang Selasa.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, suspek berusia 30 tahun itu dikatakan memecutkan kenderaan yang dinaiki bersama seorang rakan dan melepaskan tembakan selepas menyedari diekori pihak berkuasa.

Kejadian kejar mengejar dengan suspek berlaku sejauh kira-kira 10 kilometer.

Dalam usaha menahan suspek, polis melepaskan dua das tembakan namun gagal menghentikan kenderaan suspek.

Kereta yang dinaiki kemudiannya terlibat dalam kemalangan dan melanggar beberapa kenderaan awam.

Seorang suspek berusia 30-an berjaya ditahan manakala rakannya meloloskan diri.

Pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui serbuk dipercayai syabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan polis kini mengerakkan operasi memburu rakan suspek.