JOHOR BAHRU: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung seorang murid lelaki tahun satu mengalami kecederaan di bahagian mulut dipercayai akibat ditampar seorang guru lelaki dalam satu kejadian di sebuah sekolah agama di Kulai, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Kertas siasatan berkenaan bertujuan mendapatkan punca kejadian dan polis kini sedang giat mengesan saksi-saksi bebas selain akan berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah Kulai serta Jabatan Pendidikan Negeri Johor bagi mendapatkan maklumat terperinci," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata berdasarkan ringkasan kejadian, pada 4 petang semalam, seorang pegawai kanan polis di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai telah menerima satu maklumat daripada laman media sosial berkaitan kes berkenaan.

Katanya, semakan awal pihak polis mendapati tiada sebarang laporan polis diterima dan kemudian satu laporan polis telah dibuat pihak polis sebagai maklumat pertama untuk siasatan lanjut.

Tok berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat kejadian tersebut diminta berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Insp Izanzaki di talian 014-5296880.

Sebelum ini, kes berkenaan menarik perhatian ramai selepas beberapa keping gambar seorang murid yang mengalami kecederaan di mulut yang didakwa ditampar seorang guru tular di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan netizen yang mahu polis mengambil tindakan undang-undang terhadap si pelaku.

- BERNAMA