Skip to main content

Malaysia

Polis kesan 10 suspek kes pergaduhan kumpulan gengster di Alam Megah, Sri Muda

[TB]_Shazeli Kahar, Sidang Media Ketua Polis Selangor 2_ASTRO AWANI
Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan 10 suspek yang masih bebas, masing-masing tujuh bagi kes kematian dan tiga bagi kes kecederaan. - Gambar/ Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Polis mengesan 10 suspek bagi membantu siasatan dua kes pergaduhan berkumpulan sekitar Shah Alam, dipercayai mempunyai unsur gengsterisme, termasuk satu kejadian yang mengakibatkan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun maut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kedua-dua kes berkenaan berlaku di lokasi berbeza dan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Menurutnya, kes pertama berlaku di Alam Megah pada 25 Ogos yang melibatkan kematian, manakala kes kedua berlaku di Sri Muda yang menyebabkan seorang lelaki cedera selepas diserang secara berkumpulan menggunakan senjata dipercayai parang serta diugut dengan objek menyerupai pistol.

“Siasatan mendapati pergaduhan yang mengakibatkan kematian dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan, manakala kes membabitkan kecederaan pula dipercayai berpunca daripada salah faham.

“Semakan mendapati mangsa yang maut mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Susulan kedua-dua kejadian itu, Polis Kontinjen Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menjalankan beberapa siri operasi khas antara 14 hingga 28 Ogos lalu di beberapa lokasi di Selangor dan negeri lain.

“Hasil operasi itu, seramai 21 lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 46 tahun ditahan di beberapa lokasi termasuk Taman Sri Muda, Seksyen 19 Shah Alam, Klang di Selangor, serta Lenga, Muar dan Iskandar Puteri di Johor,” jelas Shazeli dalam satu sidang media, di sini, pada Isnin.

Polis turut merampas tujuh bilah parang, sebatang tukul besi, dua pemotong kabel, sebuah alat pengunci stereng, sembilan kereta, tiga motosikal serta beberapa telefon bimbit bagi membantu siasatan.

Bagi kes kematian, lapan suspek telah dituduh mengikut Seksyen 302/149 Kanun Keseksaan, manakala empat lagi suspek dituduh mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi kes membabitkan kecederaan.

Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan 10 suspek yang masih bebas, masing-masing tujuh bagi kes kematian dan tiga bagi kes kecederaan.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak bagi mengekang kumpulan gengsterism serta memastikan kesemuanya yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan demi memelihara keselamatan dan ketenteraman awam di negeri Selangor,” tegas Shazeli.
 

Must Watch Video

Advertisement