NALCHIK: Sekurang-kurangnya 11 pendaki disahkan maut, enam cedera, manakala enam lagi masih hilang selepas runtuhan salji melanda kawasan Bezengi Gorge di wilayah Kabardino-Balkaria, Rusia, pada Ahad.
Bencana itu menimpa sekumpulan 33 pendaki yang berada di kawasan pergunungan Caucasus Utara ketika menjalankan aktiviti pendakian.
Menurut perkhidmatan kecemasan Rusia, runtuhan salji terbabit meluncur dari lereng Gunung Mizhirgi sekitar pukul 5 petang waktu tempatan sebelum melanda kumpulan pendaki berkenaan.
Setakat pukul 9 pagi Isnin, seramai 10 pendaki dilaporkan berjaya turun sendiri dari kawasan pergunungan itu untuk mendapatkan bantuan kecemasan.
Pihak berkuasa berkata enam pendaki yang cedera telah dibawa ke kemudahan perubatan berhampiran untuk menerima rawatan lanjut, manakala operasi mencari baki enam individu yang tertimbus masih diteruskan.
Lebih 50 anggota penyelamat dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat, namun usaha tersebut berdepan kesukaran akibat bentuk muka bumi yang mencabar serta risiko berlakunya runtuhan salji susulan.
Gunung Mizhirgi merupakan antara puncak tertinggi di Caucasus Utara dengan ketinggian melebihi 5,000 meter dan terkenal sebagai destinasi pendakian yang mencabar.