Skip to main content

Dunia

Jerman tolak dakwaan bantu genosid di Gaza dalam kes ICJ

81741840362_TBICJjpg.jpg
Pendengaran yang bermula pada Isnin dijadual berlangsung selama empat hari bagi meneliti bantahan awal yang dikemukakan Jerman berhubung bidang kuasa ICJ dan kebolehterimaan beberapa tuntutan Nicaragua. -Gambar fail
Advertisement

THE HAGUE: Jerman pada Isnin menolak dakwaan dikemukakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa negara itu membantu tindakan yang didakwa melanggar Konvensyen Genosid menerusi pembekalan senjata dan sokongan ketenteraan kepada Israel.

Nicaragua, yang memfailkan kes itu di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mendakwa Berlin melanggar tanggungjawabnya di bawah Konvensyen Genosid 1948 serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Walaupun kes berkenaan tertumpu kepada peranan Jerman, tindakan undang-undang itu berkait secara langsung dengan konflik berterusan di Gaza susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt 2023.

Israel bukan pihak dalam prosiding tersebut dan sebelum ini berulang kali menafikan dakwaan bahawa operasinya di Gaza merupakan tindakan genosid.

Pendengaran yang bermula pada Isnin dijadual berlangsung selama empat hari bagi meneliti bantahan awal yang dikemukakan Jerman berhubung bidang kuasa ICJ dan kebolehterimaan beberapa tuntutan Nicaragua.

Jerman berhujah bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan, manakala Nicaragua akan mengemukakan hujah balas sebelum kedua-dua pihak meneruskan sesi hujahan pada Rabu dan Khamis.

Ketua pasukan perundangan Jerman menegaskan dakwaan Nicaragua tidak mempunyai asas fakta atau perundangan yang kukuh, selain menyifatkan tuntutan itu sebagai tidak berasas.

Pada April 2024, panel hakim ICJ menolak permohonan Nicaragua bagi mendapatkan perintah sementara untuk memaksa Jerman menghentikan bantuan ketenteraan kepada Israel.

Namun, mahkamah tidak menggugurkan keseluruhan kes tersebut dan membenarkannya diteruskan.

Prosiding terbaharu itu dilihat sebagai satu lagi usaha undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan konflik Gaza, susulan kes berasingan yang dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di ICJ pada penghujung 2023.

Must Watch Video

Advertisement