Polis sedang memburu empat lelaki terlibat dalam kes samun di Jalan Bunga Melati, Taman Seraya Pandan Indah, Ampang, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dalam kejadian 9.25 malam itu, seorang wanita berusia 26 tahun mengalami kerugian berjumlah RM150.

“Mangsa keluar dari rumah menuju ke arah kereta dan didatangi dua orang suspek yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125z berwarna biru, salah seorang suspek turun dan mengejar mangsa menggunakan parang.

“Mangsa yang terkejut melemparkan beg tangan dan terus melarikan diri. Suspek kemudiannya mengambil beg berkenaan dan beredar.

“Dua lagi suspek yang menaiki motosikal Yamaha 125z berwarna kuning turut dilihat mengekori di belakang motosikal pertama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.