KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki yang didakwa mengintai seorang guru wanita di tandas Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic), pada 15 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya telah menerima laporan daripada mangsa yang berusia 32 tahun, pada hari yang sama.

Katanya, perbuatan suspek itu turut dirakam dalam kamera litar tertutup (cctv) dan tular di media sosial.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa ke Kompleks Sukan Negara untuk membawa pelajar bagi menyertai latihan perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan.

"Bagaimanapun, semasa berada di dalam tandas wanita, mangsa menyedari kehadiran seorang lelaki yang sedang mengintainya dari bilik tandas sebelah.

"Mangsa kemudian menjerit sehingga menyebabkan suspek bertindak melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata, mangsa menceritakan dia hanya sempat melihat paras kepala hingga mata suspek sahaja.

Katanya lagi, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

"Siasatan masih diteruskan untuk mendapatkan rakaman CCTV di lain-lain lokasi berhampiran.

"Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini, boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Hadi di talian 016-2745515," ujarnya.

Jenayah | Polis buru lelaki 'skodeng' guru wanita di tandas