Skip to main content

Malaysia

Polis buru suspek curi beg dalam masjid

Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki mencuri beg milik seorang penuntut universiti ketika mangsa sedang menunaikan solat Asar di sebuah masjid di Kampung Jelatang di sini pada Sabtu.
Identiti suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan. - Gambar/ Media sosial

ALOR GAJAH: Polis memburu seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian beg milik seorang penuntut universiti tempatan ketika mangsa sedang menunaikan solat di sebuah masjid di Kampung Jelatang di sini, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.45 petang di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin ketika gadis berusia 19 tahun itu sedang menunaikan solat Asar seorang diri.

“Mangsa meletakkan beg yang mengandungi dokumen dan barangan peribadi termasuk wang tunai serta telefon bimbit di hadapan sejadah sebelum ternampak seorang lelaki tidak dikenali berada di hadapannya sebaik bangun daripada sujud.

“Lelaki yang memakai baju-T berwarna biru dan seluar pendek hitam itu kemudian mengambil beg berkenaan dan melarikan diri melalui pintu belakang ruang solat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada 6.24 petang hari sama dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata identiti suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang dijalankan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu serta menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-556 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang lelaki dipercayai melarikan sebuah beg dari ruang solat wanita sebuah masjid ketika mangsa sedang menunaikan solat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement