ALOR GAJAH: Polis sedang memburu tiga suspek dipercayai terlibat dalam jenayah curi kabel selepas mereka bertindak meloloskan diri ketika ditahan untuk pemeriksaan di lampu isyarat Kelemak di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta jenis Volkswagen Polo berwarna putih dilihat dalam keadaan mencurigakan sebelum petugas unit kereta peronda (MPV) polis mengarahkan pemandu supaya menghentikan kenderaan untuk diperiksa.
Advertisement
Beliau berkata bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan memecut laju untuk melarikan diri sehingga menyebabkan petugas MPV terlibat terpaksa mengejar kenderaan suspek hingga Kampung Pegoh.
"Sebaik tiba di kawasan kampung berkenaan, didapati tiga suspek berpakaian serba hitam termasuk seorang daripadanya memakap topi berwarna merah telah keluar dari kenderaan dan melarikan diri ke dalam semak berhampiran.
"Pemeriksaan terhadap kenderaan terlibat mendapati terdapat peralatan dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah curi kabel," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata polis telah melaksanakan Ops Tutup bagi mengesan ketiga-tiga suspek dan pemilik kenderaan terlibat telah dikenal pasti bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, orang awam yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya menerusi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, 06-5564153.
-- BERNAMA