JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki selain merampas sebuah motosikal dalam Op Samseng Jalanan di Kota Masai, di sini, pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, kedua-dua suspek ditahan atas kesalahan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam telah menjalankan Op Samseng Jalanan di lokasi Jalan Jambu 6, Kota Masai, pada Sabtu.

“Secara keseluruhannya, op ini bertujuan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan dan kesalahan-kesalahan lalu lintas yang kerap dilakukan oleh orang awam.

“Hasil pemeriksaan terhadap 54 kenderaan dan 73 individu, sebanyak 23 keping saman polis (Pol 257) telah dikeluarkan oleh pihak BSPT IPD Seri Alam atas pelbagai kesalahan lalulintas selain turut menahan dua lelaki dan merampas sebuah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah Sohaimi, Op berkenaan diadakan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai terutamanya penduduk di sekitar daerah Seri Alam agar sentiasa mematuhi peraturan lalulintas.

Malah katanya, ia juga diharap memberikan kesedaran agar mereka (orang ramai) sentiasa menjaga keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Pihak BSPT IPD Seri Alam akan sentiasa melakukan operasi seumpamanya secara berterusan bagi mengambil tindakan tegas terhadap pengguna-pengguna jalan raya yang masih melakukan kesalahan lalulintas,” katanya. - Sinar Harian