Satu letupan kuat mengegarkan kawasan Segama di sini pagi tadi dipercayai dalam cubaan memecah masuk salah sebuah premis kedai emas di situ.

Bagaimanapun, dalam kejadian 2.30 pagi tadi itu, penjenayah terbabit gagal untuk memasuki premis berkenaan walaupun pintu berjaya dipecahkan.

Tiada barangan kemas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada jam 2.45 pagi setelah menerima laporan terdapat letupan kuat di kawasan premis tersebut.

"Pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati terdapat kesan letupan di premis kedai emas yang terletak dibawah bangunan kedai tiga tingkat itu.

"Kita percaya bahawa bahan letupan yang digunakan adalah bom itu diletakkan di tepi pintu jeriji premis dan hasil letupan yang dihasilkan menyebabkan kerosakan teruk.

"Pihak polis telah panggil Unit Pemusnah Bom untuk membuat pemeriksaan lanjut jika masih terdapat sisa-sisa letupan dalam premis,"katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Foto Astro AWANI
Tambah Habibi, hasil pemeriksaan dijalankan turut mendapati tiada barang kemas yang dilaporkan hilang malah anak kepada pemilik premis berkenaan turut mengesahkan perkara tersebut.

"Ketika kejadian, pemilik premis berkenaan berada di luar negara dan pihak kami telah mengambil keterangan anaknya.

"Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Bahan Letupan 1957," katanya lagi.