TAWAU: Polis menggagalkan cubaan mengedar syabu oleh dua sindiket pengedaran dadah di sini dengan penahanan tujuh lelaki termasuk dua penjawat awam dalam dua serbuan berasingan di sekitar Tawau pada 20 serta 21 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata dalam serbuan itu polis merampas syabu bernilai RM130,000 dan kesemua suspek warga tempatan itu ditahan reman selama 14 hari sehingga 3 April ini bagi membantu siasatan.

"Pada 20 Mac, polis menyerbu sebuah kenderaan di kawasan perumahan bandar Tawau sekali gus menahan lima sahabat berumur 30 hingga 59 tahun, selepas pemeriksaan polis di dalam kenderaan menemukan dua bungkusan disyaki Syabu seberat 103.40 gram.

"Kesemua suspek yang tidak bekerja ini didapati positif dadah dengan empat daripadanya mempunyai 19 rekod jenayah lampau serta dadah ," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Penahanan lima suspek itu, menurutnya membawa kepada penahanan dua penjawat awam berumur 34 serta 36 tahun pada 21 Mac pukul 12.30 tengah malam di bandar Tawau.

"Semasa serbuan kedua-dua suspek berada dalam sebuah kenderaan dan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan polis dan pemeriksaan menemukan lima bungkusan disyaki Syabu seberat 1,177.50 gram. Kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak memiliki rekod jenayah," katanya.

Jasmin berkata siasatan awal polis mendapati dua sindiket ini dipercayai memperoleh dadah daripada sumber sama dan kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu beliau berkata pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan pasukan keselamatan negara jiran melalui perkongsian maklumat bagi membanteras sindiket pengedaran dadah.

Katanya dalam tempoh tiga bulan, polis berjaya merampas kira-kira 11 kilogram syabu dan kini giat mengesan saki-baki rangkaian pengedaran dadah di sini, selain berharap orang awam yang mempunyai maklumat dapat menghubungi pihak berkuasa.

-- BERNAMA