Seorang lelaki ditembak mati selepas mengurung dan mencederakan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dalam kejadian di tingkat empat sebuah pangsapuri di Telipok Ria dekat sini petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari dan berakhir jam 5.32 petang itu, suspek lelaki berusia 30-an itu meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada anggota badan selepas terkena beberapa das tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata siasatan awal mendapati suspek yang bersenjatakan pisau itu dikatakan melarikan mangsa lalu mengurungnya di sebuah rumah sebelum disedari penduduk lain.

"Seorang lelaki yang kita belum kenal pasti identitinya telah menangkap seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun dan dia kurung budak ini di salah satu flat yang ada di sini sambil meletak pisau di lehernya.

"Pada masa itu, orang awam telah panggil polis dan berunding untuk lepaskan budak itu, tetapi dia enggan dan terus letak pisau di leher menyebabkan leher budak itu luka.

"Tiba satu ketika, suspek cuba buang budak ini dan pada masa itu polis telah bertindak dengan segera dan melepaskan beberapa das tembakan mengenai suspek.

"Suspek meninggal dunia di tempat kejadian dan polis berjaya menyelamatkan budak itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui di lokasi kejadian petang tadi.

Omar berkata mangsa kanak-kanak itu sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan selepas difahamkan mengalami kecederaan di bahagian leher.

Terdahulu, kejadian itu menjadi tular selepas penduduk berkongsi video insiden berkenaan di laman sosial.

Sementara itu, Omar dalam sidang media sama berkata ketika kejadian seorang lelaki berada di rumah itu dan dipercayai sedang solat Zohor.

"Pada masa suspek masuk, dia tendang pintu, pecah dan masa itu pemilik rumah seorang sahaja dan dia tengah sembahyang.

"Pemilik rumah tiada kaitan dengan suspek. Suspek mengarahkan pemilik rumah itu keluar," katanya lagi.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan termasuklah mengenal pasti suspek yang dipercayai mengalami masalah mental atau di bawah pengaruh dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.