JOHOR BAHRU: Polis Johor menerima tiga laporan berhubung penipuan pelaburan dan penipuan 'phone scam' melibatkan kerugian berjumlah lebih RM1 juta mulai Rabu hingga Khamis lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan polis berkenaan dibuat warga tempatan berusia antara 36 hingga 46 tahun.

Menurutnya, kesemua laporan berkenaan melibatkan penipuan yang berlaku antara 4 hingga 5 Oktober lalu.

“Kes pertama yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan melibatkan seorang perempuan warga tempatan berusia 36 tahun yang telah melakukan 78 transaksi ke sebuah akaun bank atas nama Shuishang Chafang. Bayaran dibuat antara 6 hingga 28 Mei 2023 berjumlah RM637,163.55 apabila dijanjikan pulangan 11 peratus daripada jumlah modal yang dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari.

“Kes kedua yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri melibatkan lelaki warga tempatan berusia 44 tahun yang mengalami kerugian sebanyak RM451,887 setelah melakukan 19 transaksi ke 16 akaun berbeza antara 11 Julai hingga 29 September 2023 melalui skim pelaburan kripto melalui laman Yomaex Crypto Market," katanya.

Beliau berkata, kes ketiga yang dilaporkan berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar melibatkan perempuan warga tempatan berusia 46 tahun.

"Mangsa melakukan 15 transaksi berjumlah RM322,270 ke 11 akaun bank apabila diminta berbuat demikian oleh 'anggota polis' susulan dia didakwa memiliki bungkusan haram dari Pos Laju yang berada di Alor Setar untuk dihantar ke Kuching,” katanya.

Menurutnya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Susulan itu, polis Johor menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mengikuti laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti Facebook, Instragram dan TikTok bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai modus operandi jenayah komersial.

Orang ramai juga boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran wang dari akaun suspek.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian