ALOR SETAR: Polis Kedah menerima 30 kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo Single Cab 2.4 (MT) bernilai lebih RM4 juta bagi menggantikan kenderaan yang telah melebihi had usia.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kenderaan itu adalah untuk kegunaan guna sama operasi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri ini.

"Secara keseluruhannya, kita menerima 400 unit Toyota Hilux bagi seluruh negara. Kedah telah menerima 30 unit iaitu 28 daripadanya adalah untuk kegunaan Kontinjen Kedah, satu unit kepada Pusat Latihan Polis Langkawi dan satu unit kepada Markas Operasi Pasukan Polis Marin Langkawi Wilayah Satu.

"Kenderaan ini adalah untuk kegunaan penugasan seperti sekatan jalan raya, membawa mayat dan mengangkat barangan. Ia juga mempunyai kelengkapan peralatan dan aksesori tambahan termasuk perakam digital dan peti pertolongan cemas," katanya selepas majlis penyerahan kenderaan itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Mazlan berkata secara keseluruhan, PDRM mempunyai 27,307 unit kenderaan yang digunakan di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 18,279 unit kenderaan yang telah melebihi had usia akan ditukar secara berperingkat.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan berkata kesemua unit kenderaan yang diterima hari ini dijangka meningkatkan lagi keberkesanan penugasan polis Kontinjen Kedah seterusnya dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan itu.

"Banyak kenderaan yang telah lebih had usia. Contohnya, apabila polis pergi ke kawasan jenayah kenderaan yang dibawa tidak boleh dihidupkan jadi dari situ sudah memberi gambaran yang tidak berapa enak di mata masyarakat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasanuddin menyeru orang ramai terutamanya di negeri ini supaya tidak sesekali memalsukan dokumen perjalanan merentas negeri kerana pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas sekiranya didapati melakukan kesalahan berkenaan.

"Jangan palsukan dokumen perjalanan kerana natijahnya cukup besar antaranya boleh dikenakan denda yang cukup tinggi. Saya telah arahkan semua pegawai dan anggota untuk memperketatkan lagi pemeriksaan di sekatan jalan raya yang ada," katanya.

-- BERNAMA