Polis Kelantan buru wanita warga asing dalangi sindiket ganja, tiga suspek ditahan

Datuk Hussein Omar Khan berkata operasi menerusi Ops Agas itu dilancarkan hasil risikan selama empat bulan. - Gambar fail
KOTA BHARU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dengan penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan 52 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.92 juta dalam dua siri serbuan di Kuala Krai pada 3 Jan lepas.
Ringkasan AI
- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dengan penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan 52 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.92 juta dalam dua siri serbuan di Kuala Krai pada 3 Jan lepas.
- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menyatakan operasi Ops Agas dilancarkan hasil risikan selama empat bulan, dengan penahanan suspek berusia 32 tahun pada serbuan pertama di Jalan Kota Bharu-Gua Musang.
- Nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM1.82 juta manakala dua kenderaan disita bernilai RM100,000, menjadikan keseluruhan sitaan RM1.92 juta; siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak September 2024 dipercayai didalangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an dari negara jiran.
"Hasil pemeriksaan menemui 320 bungkusan plastik lut sinar berisi bunga ganja seberat 52 kg," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.
Susulan itu, serbuan kedua di Taman Sri Guchil, Kuala Krai membawa kepada penahanan dua lagi suspek berusia 40 dan 50 tahun yang menaiki sebuah Perodua Myvi.
Hussein berkata nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM1.82 juta manakala dua kenderaan yang disita bernilai RM100,000, menjadikan keseluruhan sitaan RM1.92 juta.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek direman selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Jan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Hasil semakan mendapati suspek pertama yang positif ketamin mempunyai sembilan rekod lampau dan bertindak sebagai koordinator, manakala suspek kedua mempunyai enam rekod. Dua lagi suspek berperanan sebagai penghantar," katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket yang aktif sejak September 2024 itu dipercayai didalangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an dari negara jiran dan disyaki mempunyai dwi kerakyatan.
"Kita sedang mengesan wanita terbabit dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand," katanya.
Modus operandi sindiket adalah mendapatkan bekalan di Pengkalan Jambu, Rantau Panjang sebelum dihantar ke rumah transit di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa bagi edaran ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


