PASIR MAS: Polis Kelantan berjaya merampas syabu bernilai lebih RM28.6 juta yang ditemukan dalam kenderaan di Pasir Mas dan Kuala Krai sejak semalam, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata dalam rampasan di Pasir Mas semalam, petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang meronda pada kira-kira pukul 8.30 malam telah terserempak dengan kereta Proton Wira Aeroback berwarna putih ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Pohon Buluh, yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Katanya susulan pemeriksaan keatas kereta berkenaan, pasukan itu menemukan 495 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM17.8 juta yang dimuatkan dalam paket-paket kecil lengkap dengan logo jenama kopi, di dalam beberapa guni.

"... dadah jenis syabu itu disyaki diseludup dari negara jiran," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Dalam rampasan kedua di Kuala Krai kira-kira pukul 7.15 pagi tadi pula, Muhammad Zaki berkata pihaknya berjaya merampas syabu bernilai RM10.8 juta yang ditemukan dalam sebuah kereta Proton Exora yang ditinggalkan di sebuah kebun getah di Kampung Batu Balai.

Muhamad Zaki berkata dadah itu dimuatkan dalam 25 bungkusan kurier yang dimasukkan ke dalam 12 guni, dan diletakkan di tempat duduk penumpang.

Tiada tangkapan dibuat, dan kedua-dua kes sedang disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

-- BERNAMA