Skip to main content

Malaysia

Polis kenal pasti identiti suspek kes samun di kondominium mewah

KUALA LUMPUR, 14 Sept - Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas dan pemakaian pangkat Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. - fotoBERNAMA (2026)
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam kejadian samun berkumpulan dan bersenjata membabitkan kerugian RM2.91 juta di sebuah kondominium mewah di Jalan Ampang di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata bagaimanapun tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan sedang dijalankan.

"Kes samun itu masih lagi dalam siasatan. Beri kami masa. Saya tidak mahu dedahkan apa-apa sekarang kerana siasatan sedang dilaksanakan.

“Apa yang boleh saya katakan setakat ini, kes berkenaan ada kaitan dengan mangsa itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sentul, di sini hari ini.

Fadil berkata polis turut menyiasat kemungkinan wujud penglibatan pihak dalaman dalam kejadian berkenaan.

Beliau berkata polis telah merekodkan keterangan semua pihak di lokasi kejadian termasuk mangsa, penghuni serta pekerja keselamatan kondominium berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

Fadil berkata pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Kedutaan China berhubung perkembangan kes itu serta pasport mangsa yang turut dilarikan suspek.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan lelaki bertopeng, bersarung tangan dan bersenjatakan pisau melarikan wang tunai, barangan kemas serta jam tangan mewah dianggarkan bernilai RM2.91 juta dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Ampang pada 7 Sept lepas, sebelum mangsa seorang lelaki warga China berusia 28 tahun membuat laporan polis.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement