KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan taktik terbaharu cubaan untuk mendapatkan data peribadi (phishing) melalui hantaran mesej di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata berdasarkan risikan dilakukan pihaknya, pengguna laman sosial akan menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang seterusnya menawarkan geran kewangan dinamakan 'Home Improvement Grant'.

"Geran tersebut didakwa sebagai program dikendalikan beberapa agensi kerajaan dengan kerjasama bank dunia untuk membantu individu yang memerlukan bantuan kewangan.

"Sekiranya berminat, pemohon diminta mengisi maklumat peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan, status perkahwinan dan beberapa maklumat lain yang dinyatakan dalam borang permohonan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin bagaimanapun berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan perkara itu, namun mengingatkan orang ramai bahawa tindakan mendedahkan maklumat peribadi kepada pihak tidak dikenali adalah satu tindakan berbahaya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada kerana maklumat peribadi merupakan data yang berpotensi untuk disalahgunakan seandainya diperoleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, orang ramai boleh membuat semakan secara terus dengan agensi atau kementerian yang bertanggungjawab bagi tujuan permohonan bantuan ataupun geran daripada pihak kerajaan dan tidak sesekali mempercayai mesej diterima daripada pihak ketiga.

Bagi sebarang nasihat atau kemusykilan berkaitan jenayah komersial, orang ramai boleh merujuk kepada CCID Scam Response Center menerusi talian 03-26101559 atau 03- 26101599.

-- BERNAMA