KOTA KINABALU: Polis mengesan cubaan masuk anasir yang mengancam keselamatan negara termasuk pergerakan pengganas ke kawasan perairan Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, maklumat yang diterima itu hasil kerjasama rapat dan perkongsian maklumat dengan pasukan keselamatan Filipina dan Indonesia.

Katanya, antara maklumat yang diperolehi termasuk berkaitan pergerakan anasir-anasir terbabit di kawasan perairan Sabah termasuk Laut Sulu dan Laut Celebes, Indonesia.

“Bagaimanapun, setakat ini, tahap keselamatan perairan negeri ini khususnya di pantai timur berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Ini kerana kawasan perairan yang menjadi sempadan selatan Filipina, Indonesia dan negeri ini sentiasa menjadi keutamaan kawalan keselamatan pihak berkuasa semua pihak (ketiga-tiga negara)," katanya ketika ditemui, pada Selasa.

Hazani berkata, keberkesanan kawalan keselamatan itu terbukti dengan perkembangan yang berlaku kebelakangan ini, termasuk membabitkan operasi dijalankan pasukan keselamatan Filipina untuk memantau pergerakan kumpulan militan di negara berkenaan.

“Dalam laporan terbaharu, pihak berkuasa Filipina berjaya menembak mati salah seorang suspek yang tersenarai antara individu dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSSOM) iaitu Apo Mike.

“Selain itu, semua empat mangsa tebusan yang diculik di perairan negeri ini juga berjaya diselamatkan,” katanya.

Sehubungan itu, Hazani berkata, masyarakat setempat disarankan supaya tidak khuatir untuk meneruskan aktiviti harian di perairan Malaysia.

“PDRM dan ESSCOM akan terus meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan membuat rondaan sepenuhnya di kawasan perairan pantai timur Sabah khususnya kawasan ‘hotspot’ yang dikenal pasti,” katanya.

Dalam laporan media baru-baru ini, salah seorang individu dikehendaki, Apo Mike yang juga sub-komander Abu Sayyaf berjaya ditembak mati pihak berkuasa Filipina.

Suspek yang dipercayai mengetuai beberapa siri penculikan termasuk kes penculikan empat rakyat Sarawak di perairan Semporna, Sabah berhampiran Pulau Ligitan pada 2016.

Apo Mike adalah antara 21 senarai penjenayah dikehendaki ESSSOM kerana terbabit aktif melakukan jenayah termasuk penculikan yang berlaku di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).