MALAYSIA
Polis kesan individu kirim mesej ugutan kepada pegawai PETRONAS - Pengarah JSJ

Kumar berkata pihaknya dalam proses mengenal pasti pemilik nombor telefon yang digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berkenaan. -Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan individu dipercayai menghantar mesej ugutan kepada seorang petugas di fasiliti gas asli cecair (LNG) milik PETRONAS di Bintulu, Sarawak, semalam.
Ringkasan AI
- PDRM sedang mengesan individu yang menghantar mesej ugutan kepada petugas fasiliti LNG PETRONAS di Bintulu, dengan siasatan tertumpu kepada pemilik nombor telefon dari Indonesia.
- Kawalan keselamatan di semua fasiliti LNG telah diperketatkan serta-merta bagi memastikan keselamatan aset strategik negara.
- Simposium Sains Forensik Kebangsaan NAFSLE ke-6 menekankan adaptasi teknologi AI dalam sistem keadilan jenayah, dengan penyertaan pelbagai pakar dan agensi penguat kuasa.
"Siasatan masih dijalankan kerana nombor telefon yang digunakan untuk menghantar mesej itu juga sedang dikenal pasti," katanya ketika ditemui pada Simposium Sains Forensik Kebangsaan untuk Penguatkuasaan Undang-Undang (NAFSLE) ke-6 di sini hari ini.
Media semalam melaporkan kerajaan mengarahkan semua fasiliti LNG di Bintulu mengetatkan kawalan keselamatan serta-merta susulan ancaman yang diterima.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bagi membolehkan siasatan segera dilakukan terhadap ancaman berkenaan.
Sementara itu, sebanyak 280 peserta terdiri daripada pengamal, pegawai penyiasat, ahli akademik dan pakar forensik daripada pelbagai agensi penguat kuasa dihimpunkan pada NAFSLE yang berlangsung hari ini hingga Khamis dengan tema "Science Meets Justice: Powered by AI".
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata penganjuran simposium itu merupakan platform utama bagi perkongsian ilmu, kemahiran dan kepakaran sains serta teknologi forensik, khususnya dalam mendepani cabaran landskap jenayah yang semakin kompleks.
"Simposium ini menumpukan kepada sesi dialog dan perkongsian idea mengenai inovasi sains forensik, terutama dalam mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem keadilan jenayah negara.
"Dengan kehadiran para cendekiawan, pengamal dan pakar forensik daripada pelbagai jabatan serta institusi, ia memberi impak besar dalam memantapkan siasatan, pendakwaan dan operasi penguatkuasaan undang-undang," katanya dalam ucapan perasmian majlis itu di sini hari ini.
Beliau berkata keupayaan fasiliti teknologi forensik yang moden dan canggih amat penting bagi memastikan agensi penguat kuasa mampu menandingi trend manipulasi jenayah yang semakin rumit di peringkat global.
NAFSLE yang dianjurkan sejak 2019, adalah inisiatif JSJ Bukit Aman dengan pengelolaan secara bergilir oleh Bahagian Makmal Forensik (D10) dan Bahagian Siasatan Databank DNA (D13).
Ayob Khan turut menyatakan harapan agar penganjuran simposium itu dapat dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan penguatkuasaan undang-undang, sekali gus menjamin kesejahteraan masyarakat dan kedaulatan negara.
Turut hadir pada majlis perasmian itu Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azman Abdullah dan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Adlin Abdul Majid.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami