MELAKA: Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan lanjut, berhubung perselisihan faham berkaitan pembelian sos cili di sebuah restoran makanan segera di Taman Buaya di sini, pada 22 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata rakaman percakapan lelaki berusia 45 tahun yang merupakan seorang peniaga itu, diperlukan memandangkan terdapat beberapa versi berhubung kejadian itu daripada kedua-dua pihak.

"Kita telah menerima laporan polis yang dibuat pekerja wanita restoran makanan segera berkenaan di Balai Polis Ayer Keroh pada 7.16 malam semalam, kerana berasa terancam dan risau akan keselamatan dirinya selepas pelanggan lelaki berkenaan merakam insiden itu.

"Rakaman percakapan wanita tersebut juga telah diambil semalam, selepas beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi membantu siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, versi kejadian yang dilaporkan lelaki berkenaan ialah beliau diminta membayar sos cili tambahan yang diminta, walaupun telah membeli makanan di restoran tersebut.

"Versi kedua iaitu dari pihak pekerja wanita berkenaan pula ialah, beliau dipaksa lelaki tersebut untuk menjual 10 peket sos cili, walaupun telah diterangkan bahawa tiada pembelian sos cili dibenarkan, kerana ia diberikan secara percuma oleh pihak restoran makanan segera itu.

Christopher berkata wanita itu juga turut dimarahi dan ditengking lelaki terbabit dalam kejadian antara 10 hingga 11 malam, 22 Sept lepas.

Beliau berkata tiada kecederaan atau kerugian dilaporkan berlaku dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana ugutan jenayah.

Dalam pada itu, Christopher berkata menerusi semakan 'Integrated Police Reporting System' (IPRS) yang dilakukan, mendapati terdapat satu laporan polis dibuat berhubung kes itu oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, susulan tindakan kompaun yang diambil ke atas premis berkenaan, kerana tidak mempamerkan tanda harga.

Semalam, syarikat pengendali restoran makanan segera itu dalam kenyataan memaklumkan, insiden berkenaan berlaku ekoran kakitangannya memberikan sos cili paket yang tidak mencukupi, bersama hidangan makanan yang dibeli pelanggan.

Situasi itu menyebabkan pelanggan berkenaan berang dan terjadinya insiden caj RM1 bagi satu peket sos cili.

-- BERNAMA