JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki melarikan diri bersama barang berharga dan wang tunai milik majikannya dianggarkan bernilai RM10,850, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian daripada majikannya yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 52 tahun pada 10.48 malam, semalam.

"Suspek yang berusia 31 tahun melarikan diri dari rumah pengadu di kawasan Taman Pelangi di sini, pada 11.21 pagi, Isnin. Ketika melarikan diri suspek memakai baju-T hitam berbelang kuning di bahagian dada dan berseluar merah.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati suspek telah melarikan diri dengan membawa sebuah beg membeli-belah warna biru dengan cara memanjat pagar di hadapan rumah," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Bagaimanapun beliau berkata kira-kira 8.43 pagi tadi, pihaknya menerima maklumat terdapat empat video berdurasi 12 hingga 30 saat dan satu kenyataan telah tular di laman Twitter menerusi akaun @mynewshub mendakwa seorang pembantu rumah didera oleh majikan.

Katanya video itu memaparkan perbualan seorang lelaki tempatan bersama seorang wanita warga asing dengan wanita itu kemudian memberi kenyataan kononnya dia didera oleh majikannya ketika bekerja sebagai pembantu rumah di Taman Pelangi.

"Pihak polis sedang giat mengesan suspek bagi membantu siasatan. Lelaki itu membantu wanita berkenaan membuat laporan, namun hanya mengenai kehilangan pasport dan bukan berkaitan didera," kata Raub sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi talian Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau pegawai penyiasat kes di talian 016-9442795.

-- BERNAMA