PENAMPANG: Polis sedang giat mengesan seorang suspek membabitkan kejadian mengganggu dan cubaan melarikan seorang pelajar perempuan sekolah menengah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat selepas kejadian itu dimuat naik di media sosial sehingga tular baru-baru ini.

"Pihak polis Penampang mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes itu dan satu kertas siasatan polis telah dibuka di bawah Seksyen 8(1) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah.

"Polis sedang giat menjalankan operasi bagi mengesan suspek dan semua elemen di lapangan digerakkan bagi memaksimumkan tahap keselamatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Haris berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-723961.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi dan berita tidak sahih yang boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.