IPOH: Polis sedang mengesan waris dan ahli keluarga mangsa lelaki berusia 40 tahun yang dilaporkan maut setelah terjatuh dari tingkat 13 sebuah hotel, dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan dalam kenyataan memaklumkan, pada Ahad jam 9.38 pagi pihak polis dari Balai Polis Sungai Senam menerima panggilan daripada orang awam bahawa seorang lelaki terjatuh dari bangunan hotel.

Katanya lagi, pasukan siasatan menemukan beg duit berwarna coklat di dalam poket seluar mangsa di lokasi kejadian.

Menurut Yahaya, mangsa beralamat di Taman Nasional, Ipoh.

"Usaha sedang dijalankan bagi mengesan ahli keluarga, waris mangsa, selain itu bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia diperlukan bagi mengeluarkan mayat dari tempat kejadian.

"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang dibuat bersama pihak pengurusan hotel dan hasil siasatan awal dipercayai mangsa terjatuh dari tingkat 13 ke atas bumbung tingkat 6 hotel tersebut," katanya pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya tiada sebarang unsur jenayah (foul play) ditemui di tempat kejadian dan
mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi mengetahui punca kematian.

Tambahnya, proses bedah siasat akan dijalankan pada Isnin pada jam 10 pagi.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut setelah dipercayai terjatuh dari bangunan tingkat 13 di sebuah hotel di Jalan Sultan Idris Shah.

Mangsa dikatakan tersangkut di tingkat 6 bangunan berkenaan dan disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Foto JBPM Perak