IPOH: Polis telah melengkapkan kertas siasatan mengenai isu helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil pesanan 36 bungkus 'nasi ganja' pada 23 Julai lepas.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, kertas siasatan sebelum ini juga sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Jumaat lalu.

''Saya difahamkan, kertas siasatan juga akan dirujuk kepada pihak 'AG Chambers' untuk mendapat arahan lanjut.

"Kita sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Peguam negara,'' ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas perasmian Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menambah setakat ini hanya lima orang yang terbabit sahaja dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

''Kita hanya mengambil keterangan lima mereka yang terbabit iaitu yang pertama kita rekod kenyataan pengadu iaitu pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

''Selain itu, kita akan semak juga mereka lain yang terbabit termasuk pemilik 'nasi ganja','' ujarnya lagi.

Ambil 36 bungkus 'nasi ganja' dengan helikopter


Dalam perkembangan berasingan, Mior Faridalathrash turut mengulas berhubung isu sebuah syarikat yang menganjurkan pemberian buah durian secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong ke Jalan Sekolah, Parit Buntar Jumaat.

''Sepertimana yang dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semalam, kita mencadangkan kalau hendak memberi durian percuma pun hantar rumah ke rumah, janganlah serbu macam itu kerana tiada penjarakan fizikal.

''Kita akan menyiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan mengambil tindakan sewajarnya keatas mereka yang terbabit,'' katanya.