Skip to main content

Malaysia

Polis lepas enam das tembakan sebelum tahan suspek curi kabel

KUALA LUMPUR, 21 Julai -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, malam ini.  Fadil berkata perhimpuan kedua yang diadakan pada sesi malam itu mencerminkan operasi pasukan Kuala Lumpur yang berjalan 24/7 selain menekankan bahawa aktiviti penguatkuasaan, siasatan dan operasi juga aktif pada waktu malam.  Seramai 1,100 pegawai dan anggota menyertai perhimpunan tersebut selain meraikan samb
Fadil berkata semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan dikesan sebagai orang dikehendaki. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat kegiatan mencuri kabel selepas kenderaan dinaikinya cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di sekitar Sri Petaling, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi ketika anggota Polis Trafik Lebuhraya Kesas, Bukit Aman sedang melakukan rondaan sebelum mengesan sebuah kenderaan Ford Ranger berwarna hijau dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggota polis kemudian memberikan isyarat supaya pemandu memberhentikan kenderaan berkenaan, namun lelaki itu terus memecut sebelum satu das tembakan dilepaskan ke arah tayarnya.

“Usaha mengejar kenderaan berkenaan dipercayai bermula dari Tol Awan Besar menghala ke Klang (Barat) hingga Jalan Hang Tuah 4, Sri Petaling dan berlangsung kira-kira 30 minit sebelum kenderaan itu berhenti berhampiran sebuah stesen minyak di Sungai Besi.

“Pemandu bagaimanapun tidak memberikan kerjasama dan cuba melanggar anggota polis sebelum lima das tembakan dilepaskan ke arah tayar belakang kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata pemandu terbabit kemudiannya melarikan diri dengan memandu kenderaan hingga memasuki Jalan Hang Tuah 4 sebelum hilang kawalan lalu melanggar sebuah kereta jenis Mazda berwarna kelabu.

“Susulan itu, polis menahan seorang penumpang kenderaan berusia 29 tahun, manakala pemandu terbabit melarikan diri.

“Pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai barang dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel selain kabel yang dipercayai telah dicuri,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai 37 rekod jenayah lampau dan dikesan sebagai orang dikehendaki.

Katanya, polis kini giat mengesan seorang lagi lelaki yang melarikan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 307, Seksyen 427 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman terhadap lelaki terbabit akan dibuat esok,” katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999, Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee 03-20719999 atau balai polis berdekatan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement