Dua pegawai polis Malaysia melakukan kunjungan singkat ke Kedutaan Korea Utara di sini, dikatakan untuk berjumpa Duta Kang Chol bagi membincangkan mengenai Kim Jong-nam, yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada Isnin.

Mereka masuk ke perkarangan kedutaan itu pada kira-kira 12.50 tengah hari dan beredar kira-kira 15 minit kemudian.

Mereka enggan mengulas mengenai kunjungan itu semasa ditemui pemberita. Seorang daripada mereka, asisten superintenden, berkata: "Anda patut tanya ketua saya. Anda mungkin boleh tunggu sehingga ketua saya berikan kenyataan."

Mereka melakukan kunjungan itu kira-kira sejam sebelum Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pada sidang media bahawa lelaki menggunakan nama Kim Chol yang dibunuh di klia2 ialah Kim Jong-nam, yang hidup terasing daripada adiknya, pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

BACA: Kedutaan Indonesia ingin berjumpa Siti Aishah untuk sahkan identitinya

BACA:
TPM Zahid sahkan Kim Chol dan Kim Jong Nam ialah orang yang sama

Selain beberapa kereta menggunakan nombor pendaftaran kedutaan yang keluar masuk premis itu, keadaan di kawasan itu adalah sunyi. Duta tidak kelihatan dan pemberita tidak dibenarkan masuk.

Pagi ini, kedutaan menerima kira-kira 40 pelawat, beberapa daripada mereka memakai busana tradisional Korea. Ketika dihampiri, tiada daripada mereka bersedia untuk bercakap.

Sedikit kekecohan berlaku apabila seorang pemberita asing masuk ke perkarangan dan merakamkan gambar di dalam rumah itu dari pintu depan yang terbuka menggunakan telefon pintarnya.

Seorang pegawai kedutaan merampas telefon daripada lelaki itu, memadamkan semua gambar dan pulangkannya semula kepada pemberita itu. Mereka berjabat tangan sebelum pemberita itu beredar meninggalkan perkarangan itu.

Kim Jong-nam berada di klia2 sementara menunggu penerbangannya untuk ke Macau apabila seorang wanita menyerkup mukanya dengan kain yang diletak racun. Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital di Putrajaya.

Beliau dipercayai tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Feb.

Polis telah menahan dua wanita, dengan lebih banyak tangkapan dijangkakan.

-- BERNAMA