Polis Marin tumpas cubaan seludup masuk pendatang tanpa izin di perairan Johor

Ab Rahaman, bercakap pada sidang media pelupusan barang kes dadah yang dirampas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor bagi tahun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini. - Gambar Bernama
JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan cubaan menyeludup masuk 10 pendatang tanpa izin, termasuk dua tekong, di perairan Tanjung Pelepas awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi semasa pasukan rondaan Botronda PC 4 melaksanakan Ops Taring Gelora dan mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira tiga batu nautika dari daratan.
"Pasukan cuba menghampiri bot berkenaan untuk pemeriksaan, namun bot itu bertindak melarikan diri dan berlaku insiden mengejar. Dalam kejadian itu, bot suspek telah melanggar Botronda PC 4 lalu terbalik menyebabkan semua 10 penumpang jatuh ke laut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kesemua penumpang berjaya diselamatkan anggota PPM dan dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Kupang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk menerima rawatan."Siasatan awal mendapati kesemua mereka terdiri daripada sembilan warga Indonesia dan seorang etnik Rohingya berumur antara 21 hingga 48 tahun yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Dua daripada mereka disyaki tekong darat dan laut," katanya.
Ab Rahaman berkata polis turut merampas sebuah bot gentian kaca sepanjang 21 kaki dan satu enjin bot jenis Suzuki 40 kuasa kuda dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM25,500.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) kerana melakukan penyeludupan migran dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah.
Kes juga disiasat di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah akibat perbuatan cuai serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Polis Johor sentiasa komited dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran atau sebarang jenayah lain.
"Masyarakat diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan ke Hotline Polis Johor menerusi talian 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999 bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami