JOHOR BAHRU: Polis Johor bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video palsu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) memaparkan imej Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 25 Feb oleh seorang pengadu selepas menonton kandungan berkenaan di aplikasi TikTok.
Advertisement
Beliau berkata video tersebut memaparkan imej seakan-akan Seri Paduka Baginda kononnya memaklumkan pemberian bantuan kewangan kepada rakyat bagi tujuan memperdayakan orang ramai.
“Siasatan awal mendapati profil TikTok terbabit dipercayai palsu dan diwujudkan khusus untuk memuat naik kandungan video yang dijana menggunakan AI bagi memperdaya orang ramai serta secara tidak langsung mencemarkan imej institusi diraja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata polis tidak menolak kemungkinan wujud akaun lain menggunakan modus operandi sama dengan menyalahgunakan teknologi AI terhadap individu atau personaliti berprofil tinggi (VIP) bagi meningkatkan kredibiliti kandungan palsu dan meraih kepercayaan masyarakat.
Beliau berkata mana-mana pihak yang didapati memuat naik atau menyebarkan kandungan sedemikian boleh disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan penipuan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
“Setakat ini, belum ada mangsa dikenal pasti dan tiada sebarang kerugian kewangan dilaporkan,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya bersama MCMC turut mengambil tindakan sewajarnya termasuk menurunkan kandungan berkenaan dengan segera.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang imej atau video mencurigakan yang dimuat naik melalui akaun tidak rasmi di media sosial, sebaliknya merujuk maklumat sah melalui saluran rasmi Istana dan kerajaan negeri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan polis.
-- BERNAMA