Skip to main content

Malaysia

Polis Melaka tahan 45 individu, tumpaskan dua sindiket pusat panggilan

MELAKA, 29 April -- Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar (kanan) ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.  Polis menahan 45 individu membabitkan warga China, Vietnam dan Indonesia selepas menggempur dua premis di Taman Kota Bendahari di sini, yang dipercayai dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian pada 23 April lepas.  --fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar (kanan) ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini. - Foto Bernama

MELAKA: Polis menahan 45 individu membabitkan warga China, Vietnam dan Indonesia selepas menggempur dua premis di Taman Kota Bendahari di sini, yang dipercayai dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan dalam talian pada 23 April lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata kesemua individu berusia antara 20 hingga 44 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira 11 pagi kerana menawarkan perkhidmatan seks, panggilan cinta dan pelaburan yang tidak wujud.

Advertisement

“Dalam serbuan pertama, polis menahan 19 lelaki warga China, seorang wanita warga China dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 28 hingga 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan tiga komputer riba, 62 telefon bimbit, satu set modem dan penghala, 18 dokumen skrip penipuan serta lapan pasport milik orang yang disyaki terlibat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata siasatan lanjut juga mendapati sindiket itu menjalankan aktiviti penipuan tawaran perkhidmatan seks tidak wujud yang disyaki menyasarkan warga China melalui satu aplikasi.

Dalam pada itu, beliau berkata serbuan kedua pada waktu sama di sebuah lagi premis di kawasan sama membawa kepada penahanan 19 lelaki warga Vietnam, empat wanita warga Vietnam dan seorang lelaki warga China berusia antara 20 hingga 42 tahun.

Dzulkhairi berkata polis turut merampas 21 komputer, 21 set monitor, tetikus dan papan kekunci, 23 telefon bimbit, dua unit modem serta 24 pasport milik orang kena tahan.

“Hasil semakan mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti penipuan cinta dan pelaburan tidak wujud yang disyaki menyasarkan warga Vietnam melalui satu aplikasi.

“Selepas mangsa memperoleh kepercayaan daripada suspek, mereka akan ditawarkan pelaburan kripto melalui laman web tertentu,” katanya.

Dzulkhairi berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala reman ke atas suspek dibenarkan sehingga 30 April ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kedua-dua sindiket itu mula beroperasi sejak Januari lepas dengan ahli sindiket menerima gaji antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan bagi operator manakala penyelia menerima antara RM5,000 hingga RM6,000 bergantung kepada peranan dan prestasi kerja.

“Setiap ahli sindiket yang berjaya mendapatkan mangsa turut dijanjikan komisen antara RM500 hingga RM2,000 bagi setiap mangsa,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video