KLANG: Polis telah menghantar notis kepada seorang pemilik kereta Proton Gen 2 untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Pelabuhan Barat, di sini pada 23 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya telah menghantar notis Panggilan Saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah kepada pemilik kenderaan itu hadir ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Klang untuk siasatan lanjut.

"Polis telah terkesan video tular berdurasi 43 saat yang memaparkan kemalangan melibatkan dua buah kereta," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hoong Fong berkata, kejadian berlaku pada jam 2.20 petang, semasa kedua-dua pemandu dalam perjalanan dari arah Pulau Indah menuju ke Klang.

"Semasa sampai di tempat kejadian, keadaan jalan raya sesak, kereta Proton Saga yang dipandu lelaki berusia 38 tahun, tiba-tiba telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Proton Gen 2," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hoong Fong berkata, kedua-dua pihak tidak berpuas hati dan telah bertengkar mulut di lokasi kejadian kerana pemandu kereta Proton Saga meminta ganti rugi akibat kerosakan keretanya.

"Pada masa yang sama pemandu kereta Proton Saga itu telah merakam video semasa pertengkaran mulut berlaku.

"Semakan mendapati satu laporan polis telah dibuat oleh pemandu kereta Proton Saga pada hari kejadian dan memaklumkan hanya ingin membuat laporan polis berkaitan kemalangan sahaja," katanya.

Beliau berkata, saksi yang melihat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohamad Amirrul Roseli di talian 017-946 9798.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59),” katanya. - Sinar Harian