BUKIT MERTAJAM: Polis menafikan dakwaan terdapat seorang lelaki warga emas di sekitar Seberang Jaya dekat sini, yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh dan mencabul kanak-kanak perempuan, seperti yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Tan Cheng San berkata polis telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu termasuk merekodkan keterangan ibu kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya wanita itu menafikan dakwaan sebagaimana yang ditularkan di media sosial semalam, sebaliknya mengaku bahawa lelaki dalam gambar yang ditularkan itu adalah jirannya, malah telah dianggap seperti ahli keluarga sendiri.

Beliau berkata polis turut menerima dua laporan yang dibuat oleh warga emas berumur 80 tahun itu bagi menafikan dakwaan, dan siasatan lanjut mengenainya telah dijalankan, termasuk merekodkan keterangan jiran lelaki itu.

"Lelaki serta kanak-kanak itu tinggal di kawasan perumahan yang sama dan saksi mengesahkan bahawa warga emas itu telah nyanyuk di samping tidak boleh berkomunikasi dengan baik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak semalam, tular satu hantaran bersama beberapa keping gambar di laman sosial Facebook yang meminta orang ramai berhati-hati dengan seorang lelaki warga emas, kononnya berkelakuan tidak senonoh dan mencabul kanak-kanak perempuan.

-- BERNAMA