GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan negeri itu sebagai transit selepas merampas dadah jenis syabu bernilai RM5.2 juta.

Dadah seberat 114.7 kilogram (kg) itu dirampas dalam serbuan di dua lokasi di Teluk Bahang dan Batu Ferringhi sekitar jam 6.30 petang pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata kegiatan jenayah itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun oleh sepasukan anggota Unit Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang pada 6.30 petang Jumaat lalu.

Suspek yang menaiki sebuah kereta Mercedes-Benz ditahan bersama 15 bungkusan hablur kristal dipercayai dadah jenis syabu, sepucuk pistol dengan kelopak berisi 14 butir peluru dan 39 peluru hidup dalam sebuah kotak hitam.

Hasil siasatan membawa kepada penemuan sebuah stor penyimpanan dadah di sebuah rumah teres di Teluk Bahang.

Polis kemudiannya menahan seorang warga Bangladesh berusia 35 tahun yang tinggal di rumah berkenaan.

"Dalam tindakan susulan pada 13 Mac 2021, jam 5 petang, sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri yang dipandu suspek tadi telah menangkap seorang rakan jenayah iaitu lelaki warga Bangladesh di Teluk Bahang iaitu di stor menyimpan dadah.

"Kita temui dadah syabu seberat 129.7kg di Teluk Bahang yang mana nilainya RM44.6 juta. Dalam dua operasi itu, kita merampas keseluruhan dadah syabu 144.7kg dianggarkan bernilai RM5.2 juta.

"Dadah yg didapati ini disyaki untuk pasaran negara jiran di sebelah barat," ujar Sahabudin.

Katanya, sindiket terbabit aktiviti melakukan jenayah itu sejak setahun lalu dan bertindak menyimpan dadah di dalam rumah berkenaan sebelum menyeludup dadah tersebut ke Indonesia.

Sahabudin berkata, pihaknya percaya dadah berkenaan akan dibawa keluar menggunakan bot menerusi laluan laut di perairan Pulau Pinang sebelum diseludup ke Indonesia .

Dalam masa, beliau berkata pihak polis masih mengesan saki baki ahli sindiket dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara itu bagi membantu siasatan.

Selain dadah, polis turut menyita dua buah kereta dan motosikal yang dipercayai digunakan suspek sewaktu melakukan jenayah.

Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Sahabudin berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.