KUANTAN: Polis Pahang akan merujuk kepada pihak pendakwaan negeri untuk membuat permohonan inkues susulan kes kematian seorang lelaki yang terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 74.5 Jalan Besar Kuala Terla berhampiran Lavender Garden, Cameron Highlands pada November tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, permohonan itu selepas siasatan lanjut dibuat termasuklah menerima laporan bedah siasat daripada Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang gagal mengesahkan kecederaan pada kepala penunggang motosikal berusia 29 tahun adalah disebabkan oleh kemalangan ataupun perbuatan jenayah.

"Berdasarkan fakta yang diperolehi pada ketika itu, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan satu siasatan selari turut dijalankan di bawah 'sudden death report' (SDR).

"SDR ini juga akan dirujuk kepada pejabat Pendakwaan Negeri Pahang untuk permohonan inkues bagi merungkai sama ada wujud elemen jenayah atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Yahaya berkata, siasatan awal pihak Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands mendapati, mangsa dalam perjalanan dari arah Tringkap menghala ke Kuala Terla.

Menurutnya, motosikal ditunggangi mangsa hilang kawalan di lokasi kejadian menyebabkan mangsa terjatuh di atas jalan sebelah kanan.

"Pemeriksaan ke atas motosikal si mati (mangsa) mendapati terdapat kesan kerosakan iaitu 'coverset' calar, cermin sisi sebelah kanan dan lampu belakang pecah.

"Terdapat juga kesan calar pada topi keledar mangsa yang tercampak di atas jalan," katanya.

Yahaya memberitahu, berdasarkan kesan kecederaan, pihak polis memohon agar bedah siasat dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik di HTAA.

Jelasnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan pada kepala akibat trauma tumpul.

"Berdasarkan bedah siasat itu, Pakar Perubatan Forensik tidak dapat mengesahkan kecederaan pada kepala adalah disebabkan oleh kemalangan ataupun perbuatan jenayah," katanya.

Menurutnya, seramai 14 individu dirakam percakapan.

Katanya, pihaknya masih menunggu butiran diri seorang lagi individu lain yang dikatakan mempunyai maklumat dan sehingga kini butiran individu tersebut masih belum diperolehi.

"Apa jua bentuk tindakan siasatan atau klasifikasi yang dibuat, pihak polis tidak berhenti menjalankan tindakan-tindakan risikan dan menganalisa data atau sebarang maklumat di mana tindakan-tindakan yang dilaksanakan itu tidak sesuai didedahkan kepada masyarakat.

"Kes ini masih dalam siasatan berdasarkan prosedur siasatan dan mengambil kira prinsip keadilan, Justeru itu, pihak polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai bagi membantu siasatan," katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. - Sinar Harian