Seramai 12 kanak-kanak perempuan berusia 11 hingga 13 tahun berjaya diselamatkan daripada sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi mereka sebagai peminta sedekah dalam operasi dijalankan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bandaraya Ipoh pada malam Jumaat.

Dalam serbuan sekitar 11.15 malam dan 1.45 pagi itu, pihak polis turut memberkas dua suspek lelaki dan wanita berusia 40-an yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mengeksploitasi kesemua kanak-kanak tempatan berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Gan Tian Kee berkata, kesemua kanak-kanak malang berkenaan dipercayai digunakan sebagai 'ejen' peminta sedekah selain menjual ubat-ubatan herba selain kalendar di sekitar daerah Ipoh dan Taiping.

"Kanak-kanak perempuan yang diselamatkan itu akan ditempatkan di rumah perlindungan di Negeri Sembilan, manakala dua suspek yang diberkas kini direman selama lima hari bermula hari ini ( Sabtu).

"Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 berkenaan pemerdagangan kanak-kanak yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda," katanya dalam sidang media di sini pada petang Sabtu.

Tambahnya, antara agensi yang terlibat dalam serbuan tersebut adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak, dan Bahagian D7 Perak.

"Istilah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang tidak sah di Malaysia merupakan jenayah rentas sempadan yang menimbulkan situasi membimbangkan.

"Justeru, polis akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk membanteras kegiatan permedagangan manusia ini sama ada membabitkan warga tempatan atau warga asing," ujarnya lagi.