IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak kini giat mengatur kolaborasi dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bagi membanteras kes jenayah di masjid termasuk ajaran sesat yang bercanggah dengan Islam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, walaupun kerjasama di antara pihak polis dan masjid sudah terjalin sejak tahun 2016, namun, usaha itu diperkemas bagi mengelakkan kejadian seperti pecah masuk masjid dan khianat berleluasa.

"Kita berbincang untuk mengeratkan kolaborasi di antara JAIPk dan polis bagi beberapa tujuan seperti pencegahan jenayah dan kes-kes ajaran sesat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Memang konsep 1 Masjid 1 Polis ini dilaksanakan sejak 2016 di seluruh negara. Hanya di Perak baru-baru ini kita adakan satu program baharu iaitu lantik seorang pegawai polis untuk jadi pegawai perhubungan di rumah ibadat lain seperti gereja, kuil, tokong dan sebagainnya.

"Ini untuk jalinkan hubungan supaya kita saling bantu membantu dari sudut pencegahan jenayah dan urusan PDRM serta agama lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir program Permuafakatan PDRM Perak Bersama JAIPk di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di sini, pada Jumaat.

 Datuk Mior Faridalathrash Wahid  bergambar kenangan bersama peserta program Permuafakatan PDRM Perak Bersama JAIPk di Auditorium Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara di Ipoh, Perak pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI

Hadir sama, Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata, antara jenayah yang sering berlaku di masjid dan rumah ibadat lain ialah pecah masuk untuk mencuri wang tabung.

"Biasanya rumah ibadat ini kena pecah sebab mereka (pencuri) akan curi duit tabung yang ada di situ, pendek kata mereka akan cari benda yang senang buat duit.

"Kalau tiada duit dalam tabung maka mereka akan buat kacau dengan pecahkan pintu, tingkap dan sebagainya. Walaupun tidak membimbangkan tapi kita tidak mahu perkara ini menular di rumah-rumah ibadat," katanya lagi.

Terdahulu, program berkenaan turut membabitkan Ketua Polis Daerah bersama-sama dengan Pegawai Pentadbir Agama Daerah.

Mereka yang hadir mendengar taklimat yang disampaikan oleh beberapa jabatan di PDRM seperti Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti.

"Mereka diberikan taklimat tentang modus operandi scammer sekarang selain memberikan pendedahan tentang trend jenayah terkini serta pengedaran dadah yang popular di negeri ini," katanya.