NATIONAL
Polis Perak rampas 44kg dadah, tahan empat suspek termasuk warga Vietnam

Noor Hisam (tiga, kanan) dan anggotanya menunjukkan rampasan dadah hasil empat serbuan sekitar Lumut dan Sitiawan, pada Isnin dan Selasa, di IPK Perak, Ipoh, hari ini. - Foto Astro AWANI
IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak berjaya merampas lebih 44 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah, bernilai lebih RM4.6 juta dalam empat serbuan sekitar Lumut dan Sitiawan, pada Isnin dan Selasa.
Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam serbuan itu, empat individu diberkas, termasuk seorang wanita warganegara Vietnam.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah hotel di Jalan Mohamad, Sitiawan, kira-kira jam 5 pagi Isnin, polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun dan merampas 16 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja, seberat 16.6kg yang dianggarkan bernilai RM51,500 di dalam kereta di kawasan parkir hotel.
Katanya, dalam kes kedua pula, kira-kira jam 7.30 malam hari yang sama, polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 28 tahun dan wanita Vietnam berumur 24 tahun di sebuah rumah di Simpang Tiga Sitiawan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah tersebut, pihak polis telah menjumpai dan merampas serbuk disyaki dadah jenis MDMA ataupun estacy, anggaran berat 15.34kg.
“Turut dirampas ialah peralatan yang dipercayai digunakan untuk membungkus dadah.
“Pihak polis juga telah membuat pemeriksaan sebuah motosikal yang berada di hadapan rumah tersebut dan menjumpai serbuk disyaki dadah jenis MDMA juga, anggaran berat 237 gram,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Noor Hisam dan anggotanya menunjukkan rampasan dadah hasil empat serbuan sekitar Lumut dan Sitiawan, pada Isnin dan Selasa, di IPK Perak, Ipoh, hari ini. - Foto Astro AWANI
Menurutnya, dengan dipandu arah kedua-dua suspek, kira-kira jam 8.55 malam hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berumur 50 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Jati, Sitiawan dan merampas serbuk disyaki dadah jenis ketamin, anggaran berat 114 gram dan 50 biji pil eramin 5 seberat 13 gram.
Lanjutan dari itu, ujarnya, polis membuat serbuan susulan di sebuah rumah di Desa Manjung Raya, Lumut, yang dipercayai digunakan sebagai tempat pembungkusan serta stor penyimpanan dadah.
Dalam serbuan ini, polis merampas serbuk disyaki MDMA, anggaran berat 11.4kg dan serbuk disyaki dadah jenis ketamin, dengan anggaran berat 299 gram.
Noor Hisam berkata, ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah, selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Suspek pertama direman tujuh hari dari 5 Mei hingga 11 Mei manakala tiga suspek lagi juga direman seminggu dari 6 Mei hingga 12 Mei depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami