BATU PAHAT: Pihak polis menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah premis kilang yang dipercayai dengan membuat pembungkusan dan pengedaran stoking yang melibatkan penggunaan kalimah Allah di KK Super Mart Cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pemeriksaan telah dijalankan di kilang berkenaan pada jam 9 pagi Selasa.

Katanya siasatan awal juga mendapati pihak kilang telah mengimport sebanyak 16 bungkusan yang mengandungi 18,800 pasang stoking.

"Saya bersama team dari IPK Johor dan IPD Batu Pahat seramai 40 orang telah membuat pemeriksaan menyeluruh ke atas kilang berkenaan.

"Dalam pemeriksaan kami telah membuat rampasan sebanyak lima pasang mempunyai kalimah Allah yang dipulangkan oleh KK Mart Sunway.

"Pemeriksaan masih lagi sedang dibuat satu persatu dan sehingga kini tidak ada stoking yang tertera kalimah Allah dijumpai kecuali yang dirampas itu,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Ismail, semasa pemeriksaan pihak pengurusan kilang telah memberi kerjasama sepenuhnya.

Siasatan juga mendapati stoking tersebut telah ditempah dari China dan pihaknya hanya membungkus dan mengedar stoking tersebut untuk pasaran.

"Setakat ini hanya tiga KK Super Mart sahaja yang terkesan terlibat dengan penjualan stoking berkenaan iaitu KK Mart Cawangan Bandar Sunway (dua kedai) dan Sunway Mentari telah dipulangkan kepada kembali pihak kilang.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Sek 233 AKMM 1998 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

"Siasatan selari juga dijalankan Unit Siasatan Terkelas Bukit Aman," katanya.

Ismail turut memohon kepada mana-mana pertubuhan, NGO dan orang perseorangan supaya tidak mengambil tindakan yang menyalahi undang-undang termasuk perhimpunan atau pun demostrasi berkaitan isu ini.

"Tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa mengambil tindakan menyalahi undang-undang. Bagi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan," tambahnya.